Program Pembasmian Kemiskinan Bandar
PROGRAM PEMBASMIAN KEMISKINAN BANDAR
- Pendahuluan
Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) telah dilancarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada bulan Jun 2006.
Matlamat PPKB adalah untuk membasmi kemiskinan tegar dan mengurangkan separuh kemiskinan keseluruhan kepada 2.8% menjelang tahun 2010 seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RM ke-9).
Golongan sasar adalah terdiri daripada keluarga miskin bandar yang mempunyai pendapatan (household income) kurang Pendapatan Garis kemiskinan (PGK) yang ditetapkan.
Program Pembasmian Kemiskinan Bandar ini adalah landasan jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) untuk turut serta melibatkan diri secara langsung dengan masyarakat dalam membantu kerajaan mencapai matlamat membasmi kemiskinan.
JPMM bertindak sebagai satu jawatankuasa yang akan mengesan golongan sasar yang layak untuk diberi bantuan-bantuan yang terdapat di dalam program ini.
- Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Bagi Kawasan Bandar
KAWASAN | MISKIN | MISKIN TEGAR | ||
ISI RUMAH (RM) | PER KAPITA (RM) | ISI RUMAH (RM) | PER KAPITA (RM) | |
Semenanjung | 663 | 157 | 390 | 91 |
Sabah | 880 | 174 | 489 | 96 |
Sarawak | 777 | 171 | 482 | 105 |
Pendapatan isi rumah merujuk kepada jumlah pendapatn yang diperolehi oleh semua ahli isi rumah iaitu pendapatan ibu dan bapa / penjaga, anak-anak yang tinggal bersama, bantuan / sumbangan tetap dari agensi atau pihak swasta, bantuan daripada anak-anak yang bekerja atau tinggal berasingan, hasil jualan pertanian dan lain-lain pendapatan / bantuan tetap dalam sebulan.
Pendapatan Per Kapita pula merujuk kepada pendapatan purata isi rumah dengan mengambil kira bilangan tanggungan atau ahli isi rumah. Perkiraan Per Kapita hanya akan diambil kira apabila pendapatan keluarga melebihi PGK Isi Rumah.
- Golongan Sasar PPKB
Di Negeri Johor, golongan sasar PPKB adalah:
- Keluarga miskin yang mempunyai pendapatan isi rumah (household income) kurang dari Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang telah ditetapkan iaitu RM 663 atau pendapatan per kapita RM 157 bagi kategori miskin dan pendapatan isi rumah RM 390 atau pendapatan per kapita RM 91 bagi kategori miskin tegar.
- Keluarga miskin yang mempunyai taraf warganegara Malaysia sahaja.
- Keluarga miskin yang telah melepasi PGK yang ditetapkan bagi sesuatu tempoh masa akan dikeluarkan dari senarai golongan sasar.
- Program Pembasmian Kemiskinan Bandar
Terdapat tujuh (7) jenis program iaitu:
- Perumahan Keluarga Miskin
- Pengurangan Beban Tanggungan Keluarga
- Pendidikan dan Latihan
- Bantuan Ihsan Penduduk Miskin di Bandar
- Penjanaan Pendapatan Keluarga
- Pusat Sejahtera
- Pangkalan data - ( Dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan )
- Cara-Cara Memohon Bantuan Program
Pembasmian Kemiskinan Bandar
1) Pemohon boleh mengemukakan permohonan menggunakan Borang Permohonan Bantuan PPKB yang diberi secara percuma dan boleh didapati di :
- Pusat Khidmat Wakil Rakyat.
- Pejabat Majlis Daerah Kota Tinggi ( Bahagian Perancang Bandar & Senitaman). Sila merujuk kepada Pegawai Perancang Bandar, J41 (En Zainuddin b. Kasri) atau Penolong Pegawai Perancang Bandar , J29 (Pn Norhafizah Yaacob).
- Contoh borang adalah sebagaimana yang dilampirkan mengikut Pihak Berkuasa tempatan yang berkenaan.
2) Pemohon perlu melengkapkan borang permohonan dan mendapatkan ulasan daripada Ketua Masyarakat Setempat seperti di bawah:
- Ahli Majlis PBT
- Pengerusi Jawatankuasa Penduduk
- Penghulu
- Ketua Kampung
- Ketua Masyarakat
3) Ketua masyarakat Setempat akan menyerahkan borang permohonan kepada Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Mukim-Mukim untuk Pengesahan.
4) Pengerusi Jawatankuasa Peyelarasan Mukim-Mukim akan mengemukakan borang tersebut kepada Pihak Berkuasa Tempatan yang berkenaan
5) Pegawai Penyelaras akan mengambil tindakan supaya permohonan tersebut dirujuk kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi pertimbangan dan kelulusan