MENU

01 Mac 2024, Jumaat | Alhamdulillah selesai Program Dapur Kasih Johor yang telah dilaksanakan pada hari ini oleh Yang Berbahagia Encik Mohammad Nazrul Bin Abd Rahim, Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT). Tuan Yang Dipertua MDKT bersama Encik Muhamad Norashid Bin Amir, Setiausaha MDKT, Tuan Hj Nasaruddin Bin Hj Ahmad, Ketua Whip MDKT serta Ahli-ahli Majlis MDKT berkesempatan meluangkan masa membawa dan menyantuni keluarga angkat bawah jagaannya berbelanja di Pasaraya Econsave Kota Tinggi.

Menerusi Belanjawan Johor 2024, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM3.2 juta untuk menjayakan inisiatif Johor Kasih. Ia merupakan program 'keluarga angkat' bagi pembasmian miskin tegar di negeri ini. Insya-Allah inisiatif ini akan memanfaatkan 2,647 Ketua Isi Rumah Miskin Tegar.

Program Dapur Kasih Johor ini diadakan bertujuan membantu keluarga angkat untuk membeli barangan dapur. Setiap bulan penerima akan dibawa berbelanja barangan dapur bernilai RM100 yang disalurkan daripada Kerajaan Negeri Johor.

Semoga segala usaha untuk membela nasib golongan rentan ini dapat direalisasikan, sekaligus hasrat untuk menoktahkan miskin tegar menjelang tahun 2027 dapat dicapai dengan jayanya. Insya-Allah.