Kota Tinggi, 9 Oktober 2025 (Khamis) – Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) sekali lagi mencatat kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Johan Kempen Kesihatan Persekitaran bagi Kempen Basmi Tikus di Pasar Borong Kota Tinggi, sempena sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025.
Majlis penganugerahan tersebut yang berlangsung di Bangi Avenue Convention Centre, Bangi, Selangor itu telah disempurnakan oleh YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Anugerah tersebut telah diterima oleh Yang Dipertua MDKT, Tuan Hj. Khairul Hafiz bin Hj. Mohamad @ Mazlan, bersama Encik Shah Jahan bin Muhammad, Pegawai Kesihatan Persekitaran, MDKT.
Pada majlis berkenaan, MDKT turut diberi penghormatan untuk mengadakan pameran kawalan tikus serta memperkenalkan inovasi peralatan kawalan tikus “Rodenzam”, hasil rekaan kreatif warga MDKT sendiri.
Kejayaan ini merupakan satu pengiktirafan besar terhadap komitmen dan dedikasi seluruh warga kerja MDKT dalam usaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat, khususnya dalam memastikan persekitaran yang bersih, sihat dan selamat.
MDKT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua peniaga Pasar Borong, Kota Tinggi atas kerjasama erat serta penglibatan aktif mereka dalam menjayakan kempen ini. Sokongan padu dan kesedaran yang tinggi daripada para peniaga merupakan faktor utama kejayaan bersama ini.


