4 JULAI 2025 (JUMAAT)
Majlis Pelancaran kempen ini telah disempurnakan oleh Encik Muhamad Norashid bin Amir, Setiausaha Majlis Daerah Kota Tinggi di Pasar Borong Kota Tinggi. Kempen Membasmi Tikus adalah anjuran Majlis Daerah Kota Tinggi bersama pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mulai Mei hingga Julai 2025. Antara jabatan dan agensi yang hadir sama dalam majlis pelancaran kempen ini adalah SWCorp, Pejabat Kesihatan Kota Tinggi, JKR, Pejabat Tanah Kota Tinggi, Southern Waste Management Sdn Bhd, Safwa Global Venture Sdn Bhd, Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Kota Tinggi dan peniaga Pasar borong Kota Tinggi.
Dalam Program ini melalui Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pelesenan, Majlis Daerah Kota Tinggi telah memperkenalkan produk inovasi kawalan tikus (RODENZAM) yang merupakan inisiatif inovasi bagi menangani isu kawalan tikus di kawasan tempat awam. Produk inovasi tersebut telah berjaya menduduki tempat ke-23 daripada 30 kumpulan inovasi Pihak Berkuasa Tempatan seluruh Malaysia dalam Pertandingan Inovasi MALA 3.0 Piala YB Menteri KPKT 2024/2025. Pertandingan Inovasi Mala 3.0 telah bermula pada tahun 2024 melibatkan 155 PBT- PBT di seluruh Malaysia dan 30 PBT telah berjaya ke peringkat akhir
Objektif kempen ini adalah:
1. Membasmi infestasi tikus di kawasan di Pasar Borong
2. Mencegah penularan penyakit seperti penyakit bawaan tikus iaitu Leptospirosis.
3. Meningkatkan kesedaran komuniti mengenai bahaya tikus
4. Meningkatkan tahap kebersihan persekitaran
5. Menggalakkan Kerjasama antara MDKT, komuniti dan jabatan berkaitan.
Aktiviti yang dijalankan sepanjang kempen:
1. Aktiviti gotong royong pembersihan kawasan.
2. Penilaian Risiko Persekitaran di Pasar Borong Kota Tinggi, Penilaian Tahap Kebersihan Pasar (Penggredan), Kajian Knowledge, Attitude & Practice (KAP) terhadap peniaga-peniaga di Pasar Borong, Kota Tinggi dan Kajian Indeks Tikus di Pasar Borong Kota Tinggi
3. Pendidikan kesihatan, hebahan melalui media masa dan edaran risalah berkaitan Kempen Basmi Tikus
4. Edaran perangkap tikus secara percuma kepada peniaga untuk menggalakkan peniaga membuat kawalan tikus di kawasan premis mereka.
5. Ganjaran 1 ekor tikus dengan bayaran RM 3.00 kepada peniaga yang berjaya membuat tangkapan tikus dalam tempoh kempen bermula sehingga 31 Julai 2025
Kempen ini diharap akan memberi kesedaran kepada peniaga-peniaga di Pasar Borong, Kota Tinggi serta orang awam dalam usaha untuk menjaga kebersihan persekitaran dan memastikan kawasan persekitaran kita bebas tikus.


