KOTA TINGGI, 12 JANUARI 2024: Kerja-kerja pembersihan pasca banjir Daerah ini merupakan penyelarasan di bawah Pusat Gerakan Pasca Banjir Daerah Kota Tinggi yang dipimpin oleh Encik Mohammad Nazrul bin Abd Rahim, Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pusat Gerakan Pasca Banjir Daerah Kota Tinggi.
Turut hadir YB Dato’ Haji On bin Jabbar@Jaafar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, belia dan sukarelawan), Tuan Haji Ahmad Nazir bin Haji Mohd Nasir, Pegawai Daerah Kota Tinggi dan Pn Hajah Zihan binti Ismail, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang.
Taklimat pecahan kawasan pembersihan telah disampaikan oleh Encik Shah Jahan bin Muhammad, Ketua Jabatan Kesihatan dan Pelesenan, MDKT. Kemudian acara pelepasan sukarelawan Gerakan Pasca Banjir 2024 disempurnakan oleh YB Dato’ Haji On bin Jabbar@Jaafar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, belia dan sukarelawan) bersama-sama Tuan Haji Ahmad Nazir bin Haji Mohd Nasir, Pegawai Daerah Kota Tinggi.
Gerakan Pasca Banjir 2024 dengan kekuatan anggota seramai 385 orang sukarelawan terdiri daripada pelbagai agensi Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Majlis Perbandaran Muar (MPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi,Majlis Belia Negeri Johor, sukarelawan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), KEJORA, SAFWA, SATRIA, Swcorp, MOSTI, Kelab Tony FC, Yayasan AEON berganding-bahu membersihkan kawasan persekitaran di Bandar Kota Tinggi serta taman perumahan yang terjejas akibat bencana banjir ini.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam Gerakan Pasca Banjir Daerah Kota Tinggi 2024.