MENU

TAPAK-TAPAK BERSEJARAH DI SEPANJANG SUNGAI JOHOR

     a) Makam Laksamana Bentan
     b) Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang
     c) Kampung Panchor
     d) Sayong Pinang
     e) Makam Kucing Bertanduk
     f) Kota Makam Tauhid
     g) Kubu Budak
     h) Bukit Seluyut
     i) Makam Bendahara Tun Habab
     j) Makam Cik Siti
     k) Pasir Putih

 

MAKAM LAKSAMANA BENTAN

 

Makam Laksamana Bentan terletak di Kampung Kelantan dan berhampiran dengan Tebing Sungai Kemang di daerah Kota Tinggi. Perjalanan hanya sejauh 2km dari Bandar Kota Tinggi.

Nama sebenar Laksamana Bentan ialah Megat Seri Rama berasal dari Bentan Sumatera dan bertugas sebagai Panglima Angkatan Laut Sultan Mahmud Shah II.

Laksamana Bentan telah menikam Sultan Mahmud sewaktu dijulang sebagai membalas dendam kematian isterinya ( Dang Anum ) yang telah dibunuh oleh baginda.

MAKAM SULTAN MAHMUD MANGKAT DIJULANG

 

Makam Sultan Mahmud terletak di Kampung Makam kira-kira 3km dari bandar Kota Tinggi. 

Bersebelahan dengan kompleks makam ini terdapat Masjid Kampung Makam dan Sungai Kota Tinggi pula terletak di bahagian selatan iaitu kira-kira 100 meter dari sini. Makam ini dikenali sebagai Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Baginda Sultan Mahmud diputerakan pada tahun 1675 dan mangkat dibunuh oleh Megat Seri Rama pada hari Jumaat, Ogos 1699. Baginda merupakan keturunan terakhir Raja Fatimah cucu kepada Sultan Alauddin Riayat Shah II iaitu raja pertama yang membuka Johor Lama pada tahun 1530.

MAKAM BENDAHARA TUN HABIB ABDUL MAJID

 

Makam terletak di Kampung Makam, 3km dari bandar Kota Tinggi. Ia berada di dalam satu kawasan perkuburan yang luas. Bendahara Tun Habib Abdul Majid atau gelarannya Paduka Bendahara Seri Maharaja Padang Saujana Johor telah mangkat pada tahun 1697. Anakanda beliau Bendahara Tun Abdul Jalil menggantikan Sultan Mahmud Syah II sebagai Sultan Johor bergelar Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV. Baginda merupakan Sultan Johor dari keturunan Bendahara. 

   KOTA MAKAM TAUHID

Kota Makam Tauhid teletak di Kampung Makam kira-kira 2 km dari bandar Kota Tinggi. Berdekatan dengannya adalah Sungai Pemandi yang mengalir ke Sungai Kota Tinggi. 

Kota Makam Tauhid bukanlah sebuah makam tetapi dahulu Makam Tauhid merupakan ibu negeri Kerajaan Johor yang ke 8 dan bertempat di tanah besar dan menjadi pusat pemerintahan sebanyak 2 kali.

Rekod sejarah mengesahkan bahawa Makam Tauhid dijadikan ibu negeri Johor buat pertama kali pada tahun 1637 iaitu semasa pemerintahan Sultan Abdul Jalil Shah III (1623-1677).

.
KOTA JOHOR LAMA

Kota Johor Lama terletak di tebing kiri menghilir Sungai Johor kira-kira 27km dari bandar Kota Tinggi atau kira-kira 30km dengan darat melalui jalan ke Desaru masuk ke Teluk Sengat. 

Sejarah Kota Johor Lama bermula pada tahun 1540 apabila Sultan Alauddin Riayat Shah II (Raja Johor Kedua 1528-1564) berpindah ke Tanjung Batu yang terletak di tepi Sungai Johor. 

Baginda telah mendirikan sebuah kota yang dibina daripada susunan batu dan kemudianya ditambak dengan tanah dan sekarang dikenali sebagai Kota Johor Lama. Dengan terbinanya kota ini, kerajaan Johor menjadi sebuah negeri yang kuat sehingga dapat mematahkan serangan Portugis dan Acheh beberapa kali.

Kegemilangan Kota Johor Lama di dalam sejarah pemerintahan kesultanan Melayu Johor tidak boleh dipandang ringan. Ia pernah menjadi ibu negeri sebanyak dua kali iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah selama 24 tahun (1540-1564), dan pada zaman kemuncak kegemilangan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II selama 13 tahun (1574-1587). Pada ketika ini yang wujud hanyalah tinggalan kota yang dipulihara berterusan. Kemakmuran dan kemegahan dan kemegahan kesultanan Melayu di Kota Batu (Johor Lama) musnah ditelan zaman. Apa yang tinggal hanyalah sebuah perkampungan yang sunyi, tenang dan damai. 

Sultan Alauddin Riayat Shah II akhirnya tewas juga ditangan Acheh di bawah Sultan Alauddin Riayat Shah Al-Qahhar dalam satu peperangan yang sengit. Sultan Alauddin Riayat Shah II telah dibawa ke Acheh lalu dihukum bunuh pada tahun 1564. Pada tahun 1564 dengan perkenan Sultan Acheh, anak almarhum Sultan Alauddin Riayat Shah II iaitu Radin Badar telah ditabalkan menjadi Sultan Johor yang ketiga bergelar Sultan Muzafar Shah. Selepas setahun bersemayan di Kota Johor Lama, Baginda memindahkan pusat pemerintahan ke Seluyut sehingga baginda mangkat pada 1570. Baginda telah digantikan oleh Sultan Abdul Jalil Shah I. Semasa ditabalkan baginda berusia lapan tahun dan segala urusan pentadbiran kerajaan dijalankan oleh Bendahara Seri Maharaja Tun Hisap Misai. Sultan Abdul Jalil I, Sultan Johor keempat mangkat selepas setahun ditabalkan iaitu pada tahun 1571.

Raja Umar telah ditabalkan menjadi Sultan Johor yang kelima dengan gelaran Sultan Ali Jalla Shah II. Baginda memerintah dari tahun 1571-1597. Pada tahun 1573 baginda bersemanyan semula di Kota Johor Lama dan membaikpulih kota pertahanan yang telah ditinggalkan selama sembilan tahun (1564-1573). Semasa pemerintahan baginda, Johor telah bersahabat semula dengan Acheh. Perhubungan ini tidak disenangi oleh Portugis di Melaka lalu Portugis menyerang Kota Johor Lama pada tahun 1576 dan 1578. 

Kedua-dua serangan ini telah dapat ditumpaskan oleh tentera-tentera Johor. Semasa pemerintahan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil, Baginda beberapa menyerang Portugis di Melaka. Jika bukan kerana sokongan tambahan orang-orang Portugis dari Goa India, besar kemungkinan Melaka dapat ditakluk semula.

Johor yang dianggap sebagai ancaman kepada Portugis di Melaka akhirnya telah diserang dan ditewaskan oleh Portugis pada 15 Ogos 1587. Johor Lama telah dikepung selama hampir satu bulan oleh angkatan Portugis yang besar di bawah pimpinan Siamo de Abreu da Antonio de Noroha. Sultan Ali Jalla Abdul Jalil berundur dan membina pusat pemerintahan baru di Batu Sawar sehingga baginda mangkat pada tahun 1597.

KAMPUNG PANCHOR

Kampung Panchor terletak kira-kira 14km dari Bandar Kota Tinggi jika melalui jalan Kota Tinggi ke Desaru. Untuk sampai ke Kampung ini harus melalui jalan merah ladang kelapa sawit Felda Air Tawar. Kampung ini terletak di tepi Sungai Johor. 

Nama Kampung Panchor diambil sempena adanya sebuah pancuran air semulajadi yang terletak di pinggir kampung ini. 

Air pancuran ini dikatakan sentiasa menyemburkan airnya keluar sehingga menimbulkan bunyi yang kuat. Air pancuran ini juga pada asalnya tidak pernah mengalami kekeringan walaupun di dalam musim kemarau yang panjang. Pada masa dahulu air pancuran ini menjadi sumber air kepada penduduk tempatan.

 
  SAYONG PINANG

Sayong Pinang merupakan sebuah pusat pemerintahan kerajaan Johor semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah II (1528-1564) setelah baginda berpindah dari Kota Kara akibat kekalahan terhadap serangan askar-askar Portugis pada bulan Jun 1535. 

Kota Sayong tidak pernah diserang dan dibinasakan oleh mana-mana pihak kerana kedudukannya di tebing sungai yang sempit menimbulkan kesukaran kepada kapal-kapal perang untuk mendarat. Oleh itu Sayong Pinang masih menyimpan kesan-kesan yang diwujudkan pada tahun 1535.

MAKAM KUCING BERTANDUK

Pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah II, baginda ada memelihara seekor kucing. Kucing ini amat disayangi oleh baginda. Ia merupakan seekor kucing biasa tetapi dikatakan mempunyai sepasang tanduk kecil pada bahagian atas kepala.

Ada sumber mengatakan kucing ini dinamakan baginda 'Si Comel'. Kucing ini suka berjalan meniti dari bumbung ke bumbung rumah dan gemar memakan sayur-sayuran. 

Keistimewaan yang cukup dikagumi ialah mampu mengesan musuh-musuh yang bakal datang menyerang Kota Tinggi.

Kucing istimewa ini telah mati secara tiba-tiba seminggu sebelum baginda mangkat. Baginda amat dukacita lalu menitahkan 'mengebumikan'. Dua biji batu berbentuk bulat diletakkan di atas kubur sebagai batu tanda.

 
. MUZIUM KOTA TINGGI 

Muzium Kota Tinggi terletak 5 km dari bandar Kota Tinggi, berdekatan dengan persimpangan Jalan Mawai, Jalan ke Desaru dan Jalan Johor Bahru. Umumnya, Muzium Kota Tinggi ini mempamerkan empat fasa peristiwa mengikut urutan kronologi sejarah. Oleh itu tumpuan Muzium Kota Tinggi adalah pada sejarah Kesultanan Johor Lama, Institut Politik dan Sosioekonomi Daerah Kota Tinggi yang meliputi zaman kegemilangan Johor Lama ( 1529-1705 ) hingga ke zaman ini.

 

Bangunan seluas 6,480 meter persegi mengabdikan rekabentuk tradisional Melayu yang menggabungkan rekaan temporari. 

 

Alamat

JKR 1858(P), Jalan Laksamana Kota Tinggi, Johor 81900 Malaysia

 

Telefon
07-883 5749 / 07-883 1498