MENU

Kota Tinggi merupakan salah sebuah daerah yang terdapat di negeri Johor, Malaysia. Bandar Kota Tinggi terletak di muara Sungai Johor. Jarak Kota Tinggi lebih kurang 40 km dari bandaraya Johor Bahru. Daerah Kota Tinggi yang terletak di selatan pantai timur Semenanjung merupakan daerah yang terbesar di Negeri Johor dan mempunyai keluasan 3,500 batu persegi. Terdapat 10 buah mukim di dalam daerah ini yang mengandungi lebih 200,000 penduduk yang merangkumi 26 buah kampung induk tradisional, 117 buah kampung rangkaian, 29 buah kawasan penempatan Felda dan 5 buah kawasan bandar baru KEJORA.

Nama Kota Tinggi juga mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Kota Tinggi adalah nama yang terbit daripada keadaan muka buminya yang bertanah tinggi. Mengikut sejarah, nama Kota Tinggi diberi oleh Sultan Mahmud kerana Kedudukannya yang terletak lebih tinggi daripada aras sungai.

Terdapat 4 buah bandar dan pekan yang penting di sekitar Daerah Kota Tinggi iaitu Bandar Kota Tinggi yang merupakan pusat pentadbiran yang utama bagi penduduk daerah ini, Pekan Sungai Rengit, Pekan Teluk Sengat dan Pekan Sedili Besar. Terdapat juga beberapa buah bandar baru yang telah diwujudkan oleh Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) iaitu Bandar Penawar, Bandar Tenggara, Bandar Mas, Petri Jaya dan Bandar Perani.

Kawasan Pilihanraya daerah ini terbahagi kepada 3 kawasan Parlimen dan 6 kawasan DUN iaitu kawasan Parlimen Kota Tinggi yang terdiri daripada Dewan Undangan Negeri Kawasan Sedili dan Johor Lama. Parlimen Tenggara iaitu kawasan Dewan Undangan Negeri Kawasan Panti dan Pasir Raja. Manakala kawasan pilihanraya Parlimen Pengerang pula ialah Dewan Undangan Negeri Penawar dan Tanjung Surat.

Pekerjaan penduduk di daerah Kota Tinggi ini adalah terutamanya sebagai peladang (peneroka Felda), petani/penternak, nelayan, pekerja industri dan juga kakitangan kerajaan awam serta swasta. Disebabkan kedudukan daerah ini yang berdekatan dengan zon industri seperti Pasir Gudang dan Senai, tumpuan pekerjaan sehingga kini lebih tertumpu kepada industri atau perkilangan. Namun begitu pekerjaan utama sebagai peneroka tidak dibiarkan begitu sahaja dengan pendekatan baru yang dirancang oleh pihak kerajaan khususnya Felda dan Felcra. Dalam Rancangan Malaysia Ke-9 beberapa projek khusus untuk peneroka telah dirangka seperti penanaman semula pokok kelapa sawit bersistematik, industri kampung bersepadu serta pertanian moden dijangka dapat menarik golongan muda untuk menceburi bidang ini di masa-masa akan datang.

Daerah ini terkenal dengan destinasi pelancongannya yang popular bukan sahaja di Negeri Johor dan Malaysia, malah di negara jiran seperti Singapura dan Indonesia. Di sinilah tempat bermulanya sejarah Kesultanan Melayu Johor. Ia berkaitan dengan pengaruh Melayu Melaka, Johor-Riau, Singapura dan Linggi. Sungai Johor yang mengalir di sepanjang bandar ini banyak menyimpan sejarah zaman Kegemilangan Johor Lama. Terdapat banyak bekas tapak peninggalan sejarah pemerintahan Kerajaan Johor Lama yang ada di sini seperti Makam-Makam Lama dan Kota-Kota Lama. Disebabkan daerah ini kaya dengan peninggalan warisan sejarah, maka Kota Tinggi dikenali dengan "Daerah Pelancongan Bersejarah".

Antara tempat-tempat menarik yang boleh dilawati sekiranya berkunjung ke Kota Tinggi ialah air terjun Kota Tinggi yang terletak lebih kurang 16 km dari bandar Kota Tinggi. Sekiranya anda menyukai kehijauan hutan, Kota Tinggi juga mempunyai Hutan Lipur Panti. Selain daripada itu, sekiranya ingin melakukan aktiviti pendakian, Gunung Panti dan Gunung Muntahak boleh menjadi medan pertarungan. Pantai-pantai yang indah juga menggamit kehadiran pelancong. Antara pantai yang boleh dilawati ialah seperti Desaru, Tanjung Balau, Batu Layar dan Tanjung Sedili. Jangan lupa berkunjung ke perkampungan orang asli Kanaq di Kampung Sungai Selangi yang unik di seluruh dunia.

Kota Tinggi juga sememangnya terkenal dengan hidangan makanan laut. Malah, di Kota Tinggi, Belangkas terutama telurnya kini menjadi lauk kegemaran pelbagai lapisan masyarakat yang tinggal di bandar ini. Hidupan laut yang menyerupai topi perisai tentera itu turut menjadi kegemaran kerabat Diraja Johor terutama Tunku Mahkota Johor.