MENU

Pelancongan

   MUZIUM KOTA TINGGI 

Muzium Kota Tinggi terletak 0.5 KM dari Bandar Kota Tinggi, berdekatan dengan persimpangan Jalan Mawai, Jalan ke Desaru dan Jalan Johor Bahru. Umumnya, Muzium Kota Tinggi ini mempamerkan empat fasa peristiwa mengikut urutan kronologi sejarah. Oleh itu tumpuan Muzium Kota Tinggi adalah pada sejarah Kesultanan Johor Lama, Institut Politik dan Sosioekonomi Daerah Kota Tinggi yang meliputi zaman kegemilangan Johor Lama ( 1529-1705 ) hingga ke zaman ini.

LAMAN LAKSAMANA

Laman Laksamana merupakan Laman Dalam Komuniti. Laman ini terletak berhampiran dengan Taman Kemang. Laman ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Dan Perumahan - Datuk Baderi Dasuki.

  
   AIR TERJUN KOTA TINGGI

Air Terjun Kota Tinggi terletak kira-kira 56 km dari Utara Johor Bahru dan 16 km dari Bandar Kota Tinggi. Tempat peranginan ini terdapat 43 bilik hotel moden dan 20 buah chalet persendirian yang dibina dilereng-lereng bukit.

KOTA JOHOR LAMA

Kota Johor Lama terletak di tebing kiri menghilir Sungai Johor kira-kira 27km dari Bandar Kota Tinggi atau kira-kira 30km dengan darat melalui jalan ke Desaru masuk ke Teluk Sengat. 

Sejarah Kota Johor Lama bermula pada tahun 1540 apabila Sultan Alauddin Riayat Shah II (Raja Johor Kedua 1528-1564) berpindah ke Tanjung Batu yang terletak di tepi Sungai Johor. 

Baginda telah mendirikan sebuah kota yang dibina daripada susunan batu dan kemudianya ditambak dengan tanah dan sekarang dikenali sebagai Kota Johor Lama. Dengan terbinanya kota ini, kerajaan Johor menjadi sebuah negeri yang kuat sehingga dapat mematahkan serangan Acheh beberapa kali.

Pelancongan

TAPAK-TAPAK BERSEJARAH DI SEPANJANG SUNGAI JOHOR

     a) Makam Laksamana Bentan
     b) Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang
     c) Kampung Panchor
     d) Sayong Pinang
     e) Makam Kucing Bertanduk
     f) Kota Makam Tauhid
     g) Kubu Budak
     h) Bukit Seluyut
     i) Makam Bendahara Tun Habab
     j) Makam Cik Siti
     k) Pasir Putih

 
MAKAM LAKSAMANA BENTAN

Makam Laksamana Bentan terletak di Kampung Kelantan dan berhampiran dengan Tebing Sungai Kemang di daerah Kota Tinggi. Perjalanan hanya sejauh 2km dari Bandar Kota Tinggi.

Nama sebenar Laksamana Bentan ialah Megat Seri Rama berasal dari Bentan Sumatera dan bertugas sebagai panglima angkatan laut Sultan Mahmud Shah II.

Megat Seri Rama telah menikam Sultan Mahmud sewaktu dijulang sebagai membalas dendam kematian isterinya ( Dang Anum ) yang telah dibunuh oleh baginda.

  
   MAKAM SULTAN MAHMUD MANGKAT DIJULANG

Makam Sultan Mahmud terletak di Kampung Makam kira-kira 3km dari Bandar Kota Tinggi. 

Bersebelahan dengan kompleks makam ini terdapat Masjid Kampung Makam dan Sungai Kota Tinggi pula terletak di bahagian selatan iaitu kira-kira 100 meter dari sini. Makam ini dikenali sebagai Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Baginda Sultan Mahmud diputerakan pada tahun 1675 dan mangkat dibunuh oleh Megat Seri Rama pada hari Jumaat, Ogos 1699. Baginda merupakan keturunan terakhir Raja Fatimah cucu kepada Sultan Alauddin Riayat Shah II iaitu raja pertama yang membuka Johor Lama pada tahun 1530.

Pelancongan

   KAMPUNG PANCHOR

Kampung Panchor terletak kira-kira 14km dari Bandar Kota Tinggi jika melalui jalan Kota Tinggi ke Desaru. Untuk sampai ke Kampung ini harus melalui jalan merah ladang kelapa sawit Felda Air Tawar. Kampung ini terletak di tepi Sungai Johor. 

Nama Kampung Panchor diambil sempena adanya sebuah pancuran air semulajadi yang terletak di pinggir kampung ini. 

Air pancuran ini dikatakan sentiasa menyemburkan airnya keluar sehingga menimbulkan bunyi yang kuat. Air pancuran ini juga pada asalnya tidak pernah mengalami kekeringan walaupun di dalam musim kemarau yang panjang. Pada masa dahulu air pancuran ini menjadi sumber air kepada penduduk tempatan.

SAYONG PINANG

Sayong Pinang merupakan sebuah pusat pemerintahan kerajaan Johor semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah II (1528-1564) setelah baginda berpindah dari Kota Kara akibat kekalahan terhadap serangan askar-askar Portugis pada bulan Jun 1535. 

Kota Sayong tidak pernah diserang dan dibinasakan oleh mana-mana pihak kerana kedudukannya di tebing sungai yang sempit menimbulkan kesukaran kepada kapal-kapal perang untuk mendarat. Oleh itu Sayong Pinang masih menyimpan kesan-kesan yang diwujudkan pada tahun 1535.

  
   MAKAM KUCING BERTANDUK

Pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah II, baginda ada memelihara seekor kucing. Kucing ini amat disayangi oleh baginda. Ia merupakan seekor kucing biasa tetapi dikatakan mempunyai sepasang tanduk kecil pada bahagian atas kepala.

Ada sumber mengatakan kucing ini dinamakan baginda 'Si Comel'. Kucing ini suka berjalan meniti dari bumbung ke bumbung rumah dan gemar memakan sayur-sayuran. 

Keistimewaan yang cukup dikagumi ialah mampu mengesan musuh-musuh yang bakal datang menyerang Kota Tinggi.

Kucing istimewa ini telah mati secara tiba-tiba seminggu sebelum baginda mangkat. Baginda amat dukacita lalu menitahkan 'mengebumikan'. Dua biji batu berbentuk bulat diletakkan di atas kubur sebagai batu tanda.

Pelancongan

    KOTA MAKAM TAUHID

Kota Makam Tauhid teletak di Kampung Makam kira-kira 2 km dari Bandar Kota Tinggi. Berdekatan dengannya adalah Sungai Pemandi yang mengalir ke Sungai Kota Tinggi. 

Kota Makam Tauhid bukanlah sebuah makam tetapi dahulu Makam Tauhid merupakan ibu negeri Kerajaan Johor yang ke 8 dan bertempat di tanah besar dan menjadi pusat pemerintahan sebanyak 2 kali.

Rekod sejarah mengesahkan bahawa Makam Tauhid dijadikan ibu negeri Johor buat pertama kali pada tahun 1637 iaitu semasa pemerintahan Sultan Abdul Jalil Shah III (1623-1677).

KUBU BUDAK

Kubu Budak terletak di muara Sungai Johor Lama bertentangan dengan Kampung Johor Lama. Untuk sampai ke sini pengunjung boleh menyeberangi Sungai Johor Lama melalui Kampung Johor Lama. 

Kubu Budak merupakan pusat pertahanan yang kedua penting selepas Kota Batu. Ia merupakan Kubu Pertahanan yang dapat mengawasi laluan Sungai Johor dan Sungai Johor Lama.

Menurut cerita, kubu ini dibina sekumpulan budak-budak. Mereka mengambil sekepal tanah setiap seorang dan seterusnya membina kubu yang luas. Mengambil sempena kerja budak-budak inilah maka kubu ini dinamakan Kubu Budak.

 Pelancongan

KOMPLEKS SEJARAH KOTA TINGGI JOHOR LAMA

Kompleks Sejarah Kota Johor Lama terletak dibawah penyelenggaraan Jabatan Muzium Malaysia (dahulunya dikenali sebagai Jabatan Muzium dan Antikuiti) semenjak tahun 1970. 

Kajian-kajian yang dijalankan di Kota Johor Lama adalah seperti: 

1. Ekskavasi oleh G.D.G Sieveking, C.A. Gibson Hill dan Wheatley pada tahun 1954.
2. Kajian penulisan oleh I.A. Macgregor iaitu Journal Of The Malayan Branch Royal Asiatic Society pada 1954.
3. Jurnal Warisan Johor pada 1997.
4. Iesnordin bin Hj. Malan - Tapak-tapak Sejarah Johor. Unpublish Report 1994.

Kota Johor Lama terletak di tebing kiri Sungai Johor kira-kira 27 km dari Bandar Kota Tinggi atau kira-kira 30 km dengan jalan darat melalui Jalan Desaru ke Teluk Sengat. Kota ini terletak di kawasan ladang getah atas tebing muara Sungai Johor. Terdapat juga beberapa buah perkampungan Melayu seperti Kampung Teluk Sengat dan Kampung Johor Lama.

Sejarah Kota Johor Lama bermula pada tahun 1540 apabila Sultan Alauddin Riayat Shah II (Raja Johor kedua 1528-1564) berpindah ke Tanjung Batu yang terletak di tepi Sungai Johor. Baginda mendirikan sebuah kota yang dibina daripada susunan batu dan kemudian ditambak dengan terbinanya kota ini, kerajaan Johor menjadi sebuah kerajaan yang kuat sehingga dapat mematahkan serangan Acheh beberapa kali.

   

Paulo de Lima Pareira melaporkan bahawa dalam peperangan tersebut, Portugis memusnahkan langsung pusat pemerintahan Kota Johor Lama lalu dibakar dan Kota Batunya dimusnahkan. Beliau telah merampas 800 pucuk meriam gangsa, emas, perak, 1,200 buah perahu besar dan kecil dan sebagainya. Menurutnya kapal yang membawa rampasan perang ini telah karam di perairan Indonesia. Sejak dari tarikh itu pusat pemerintahan di Tanjung Batu dengan Kota Batunya yang gagah tidak lagi dijadikan ibu negeri oleh sultan-sultan Johor yang berikutnya.

   

Kota Johor Lama terbiar buat seketika hinggalah zaman pemerintahan Sultan Ibrahim (1677-1685). Pada tahun 1678, Laksamana Tun Abdul Jamil Paduka Raja (bapa mertua Sultan Ibrahim) telah datang ke Johor Lama dari Siak dan membunuh Temenggong. Sultan Ibrahim telah cuba membina semula Johor Lama dan memindahkan pusat pemerintahan ke sana tetapi tidak tercapai kerana mangkat di Riau pada 16 Februari 1685. Kota Batu Johor Lama menjadi tempat bersemayan sementara Sultan Mahmud Shah II (1685-1699). 

Pada ketika itu pusat pemerintahan baginda terletak di Pasir Raja, Kota Tinggi (Kampung Makam sekarang). Selepas baginda mangkat Kota Johor Lama tidak digunakan lagi.

Kegemilangan Kota Johor Lama di dalam sejarah pemerintahan kesultanan Melayu Johor tidak boleh dipandang ringan. Ia pernah menjadi ibu negeri sebanyak dua kali iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah selama 24 tahun (1540-1564), dan pada zaman kemuncak kegemilangan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II selama 13 tahun (1574-1587). Pada ketika ini yang wujud hanyalah tinggalan kota yang dipulihara berterusan. Kemakmuran dan kemegahan dan kemegahan kesultanan Melayu di Kota Batu (Johor Lama) musnah ditelan zaman. Apa yang tinggal hanyalah sebuah perkampungan yang sunyi, tenang dan damai. 

Sultan Alauddin Riayat Shah II akhirnya tewas juga ditangan Acheh di bawah Sultan Alauddin Riayat Shah Al-Qahhar dalam satu peperangan yang sengit. Sultan Alauddin Riayat Shah II telah dibawa ke Acheh lalu dihukum bunuh pada tahun 1564. Pada tahun 1564 dengan perkenan Sultan Acheh, anak almarhum Sultan Alauddin Riayat Shah II iaitu Radin Badar telah ditabalkan menjadi Sultan Johor yang ketiga bergelar Sultan Muzafar Shah. Selepas setahun bersemayan di Kota Johor Lama, Baginda memindahkan pusat pemerintahan ke Seluyut sehingga baginda mangkat pada 1570. Baginda telah digantikan oleh Sultan Abdul Jalil Shah I. Semasa ditabalkan baginda berusia lapan tahun dan segala urusan pentadbiran kerajaan dijalankan oleh Bendahara Seri Maharaja Tun Hisap Misai. Sultan Abdul Jalil I, Sultan Johor keempat mangkat selepas setahun ditabalkan iaitu pada tahun 1571.

Raja Umar telah ditabalkan menjadi Sultan Johor yang kelima dengan gelaran Sultan Ali Jalla Shah II. Baginda memerintah dari tahun 1571-1597. Pada tahun 1573 baginda bersemanyan semula di Kota Johor Lama dan membaikpulih kota pertahanan yang telah ditinggalkan selama sembilan tahun (1564-1573). Semasa pemerintahan baginda, Johor telah bersahabat semula dengan Acheh. Perhubungan ini tidak disenangi oleh Portugis di Melaka lalu Portugis menyerang Kota Johor Lama pada tahun 1576 dan 1578. 

Kedua-dua serangan ini telah dapat ditumpaskan oleh tentera-tentera Johor. Semasa pemerintahan Sultan Ali Jalla Abdul Jalil, Baginda beberapa menyerang Portugis di Melaka. Jika bukan kerana sokongan tambahan orang-orang Portugis dari Goa India, besar kemungkinan Melaka dapat ditakluk semula.

   

Johor yang dianggap sebagai ancaman kepada Portugis di Melaka akhirnya telah diserang dan ditewaskan oleh Portugis pada 15 Ogos 1587. Johor Lama telah dikepung selama hampir satu bulan oleh angkatan Portugis yang besar di bawah pimpinan Siamo de Abreu da Antonio de Noroha. Sultan Ali Jalla Abdul Jalil berundur dan membina pusat pemerintahan baru di Batu Sawar sehingga baginda mangkat pada tahun 1597.

Bayaran masuk Pegawai untuk dihubungi Alamat No Tel.
Percuma

En. Hanif Bukhari bin Abd. Rahim  
Penolong Kurator

Kompleks Sejarah Kota Johor Lama
Lot 1468, Kg. Johor Lama
81940 Kota Tinggi
Johor
Tel: +607 883 1498
Faks: +607 895 2082

 

 Ehsan daripada: Jabatan Muzium Malaysia
Sila layari http://www.jmm.gov.myuntuk maklumat lanjut